Pages

Friday, July 8, 2011

Sempena 9 Julai 2011

Salam.

Selamat sejahtera kepada yang non-muslim. Setelah beberapa ketika ruangan saya kosong tanpa ditambah, saya ingin kongsikan di sini beberapa perkara yg bagi saya pendapat yang ingin dikongsikan bersama. Mungkin rata- rata rakyat Malaysia tahu akan erti 9 Julai 2011,apa yang akan dan sedang berlaku.

Ramai yang meluahkan pendapat masing- masing, ada yang mengatakan himpunan BERSIH 2.0 (asalnya demonstrasi jalanan) ini salah, ada juga yang menyokong dan turut serta dalam himpunan BERSIH 2.0 ini. Adakah mereka terikut propaganda sesetengah pihak dan terus memberi pendapat dengan hanya mendengar dari sebelah pihak sahaja ataupun mereka telah mendengar dari kedua- dua belah pihak? Mungkin juga mereka baru melihat menyedari situasi kewujudan BERSIH 2.0 ini setelah digembar gemburkan oleh media- media massa.

BERSIH 2.0

Pandangan saya mengenai BERSIH 2.0 dari sudut positif. Saya seringkali melihat kebanyakan manusia selalu menyelesaikan masalah tanpa melihat apa punca permasalahan yang mereka hadapi. Mereka hanya menyelesaikan masalah yang hanya timbul di atas masalah yang lain. Contohnya himpunan BERSIH 2.0 ini, kenapa mereka masih mengadakan himpunan walaupun pada pilihanraya yang lepas telah berlakunya BERSIH (atau dikenali dengan BERSIH 1.0). Puncanya ialah SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) masih tidak bebas, menurut dakwaan mereka. Benarkah dakwaan mereka? Bagi saya, jika tiada angin manakan pokok bergoyang. Kini kelihatan beberapa dakwaan daripada sesetengah pihak, antaranya :

Cuba kita lihat, apakah perbezaan antara dua gambar yang saya sertakan di atas. Maklumat lanjut, anda boleh lihat di milosuam.blogspot.com. Perkara ini merupakan antara 8 tuntutan yang dikemukan oleh gabungan 60 NGO terhadap SPR.

Kedua, himpunan ini juga disebutkan sebagai himpunan aman sebagaimana rakyat Malaysia pernah menjalankan demonstrasi ketika Palestin diserang Israel. Mereka berarak menuju ke bangunan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur. Tetapi mengapa terdapat beberapa menteri mengatakan himpunan ini haram dan akan mendatangkan kesan buruk kepada negara? Sedangkan mereka hanya berarak untuk meminta pilihanraya yang lebih BERSIH sepertimana rakyat Malaysia menunjukkan tanda protes terhadap ISRAEL yang menyerang kapal bantuan ke PALESTIN. Mereka tidak membawa senjata apa- apa melainkan gigi dan lidah. Jika mereka benar- benar faham tujuan BERSIH 2.0, tidak akan ada satu pun yang akan merusuh atau membuat onar melainkan jika ada yang MEMPROVOKASI mereka yang mana ternyata yang mewujudkan situasi tegang ini bertujuan jahat.

Ketiga, masih ramai yang tidak celik isu- isu semasa dan hanya berpandukan beberapa sumber yang menyokong satu pihak sahaja. Mereka hanya mengulas pendapat tanpa mengkaji dan menilai beberapa fakta. Saya pernah bertanyakan kepada sahabat saya mengenai isu BERSIH 2.0 dan dia tidak berani mengatakan apa- apa tanpa menilai daripada kedua- dua pihak. Umpama tin kosong, berkata hebat tetapi mungkin tidak benar dan sehebat apa yang dikatakan. Rata- rata rakyat Malaysia yang bekerja saban hari dan hanya melihat media yang dikawal oleh sebelah pihak akan mempercayai apa yang disebarkan kerana hampir setiap hari akan diulas mengenai keburukan himpunan BERSIH 2.0 ini. Tetapi pernahkah mereka mengetahui kenapa wujudnya BERSIH 2.0 dan apakah tuntutan mereka? Kemungkinan besar TIDAK!!!


Saya berpendapat, cukuplah tiga perkara positif yang saya bangkitkan. Mengenai kesan negatif pula. Pertama ialah kesan himpunan BERSIH 2.0 kepada situasi keamanan negara. Situasi ini AKAN menjadi huru- hara jika ada yang memprovokasi mereka yang menyertai himpunan ini. Bom asap pemedih mata akan dilepaskan dan semua akan cuba melarikan diri seterusnya berlakulah huru- hara kerana masing- masing cuba mengelakkan daripada terhidu asap dan ditangkap.

Kedua, peniaga dan pengusaha kenderaan awam akan rugi. Mengapa perkara ini terjadi? Sekatan jalanraya oleh pihak PDRM dan FRU telah menyekat orang ramai dan pelancong daripada datang berkunjung ke Kuala Lumpur. Rata- rata pengunjung sukar untuk mendapatkan teksi kerana sekatan jalan raya menghalang orang ramai untuk bergerak bebas seolah -olah Kuala Lumpur dalam keadaan darurat. Jika tiada sekatan dan pergerakan mereka yang menyertai BERSIH 2.0 ini dipantau dan mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa, pastinya peniaga dan pengusaha kenderaan awam in tidak akan rugi malah rezeki mereka akan mencurah- curah kerana mereka yang datang berhimpun pasti akan membeli minuman dan makanan sementara meneruskan perjalanan mereka ke tempat berhimpun.

Ketiga, pandangan pihak luar terhadap negara kita. Bagi pendapat saya, jika pihak luar melihat keadaan negara kita yang mana banyak sekatan jalan raya diwujudkan, tangkapan orang ramai diperhebat, larangan orang awam untuk bergerak bebas, pastinya negara kita akan dipandang serong mengenai amalan DEMOKRASI negara kita. Apakah kita sedar, maksud DEMOKRASI? Perkataan ini berasal dari Yunani δημοκρατíα dari δημος (dêmos) bermaksud "rakyat", ditambah pula dengan κρατειν (Kratos) bermaksud "memerintah", dengan kata hubung íα; yang memberi maksud "Diperintah oleh Rakyat". Hal ini bermakna rakyat mempunyai kuasa mutlak terhadap sesebuah kerajaan yang memerintah mereka. Berbeza dengan konsep Khilafah yang diamalkan oleh umat ISLAM setelah wafatnya Nabi Muhammad s.a.w. Pelbagai pihak akan mengatakan Demokrasi di negara kita telah rosak kerana rakyat yang ingin berhimpun secara aman, telah dinafikan hak mereka.

Perkara terakhir ialah rusuhan akan berlaku di dalam himpunan BERSIH 2.0 ini. Mungkinkah hal ini akan terjadi? Jawapan saya, YA!!! Mengapa saya berkata sedemikian? Sebabnya ialah mungkin akan ade provokator yang cuba menyelit di dalam himpunan ini atau pun mereka yang menyertai himpunan ini tidak tahu apakah tujuan sebenar BERSIH 2.0 diadakan. Jika mereka hanya mengikut himpunan ini secara membuta tuli, ternyata mereka adalah antara orang yang kita panggil sebagai pengikut membabi buta. Selain itu, jika pihak polis tidak menggertak dan mengganggu orang ramai ketika himpunan ini, pasti segala berjalan lancar dan jika ada yang cuba menimbulkan rasa kurang senang, rakyat yang berhimpun pasti akan menyerahkan parasit- parasit ini kepada pihak berkuasa kerana tujuan mereka adalah untuk kebaikan semua dan bukan menyebabkan huru- hara.


Kesimpulan yang saya boleh nyatakan ialah semua perkara terdapat kebaikan dan keburukannya. Namun kerjasama dan tanggungjawab semua pihak amatlah diperlukan. Kita hendaklah menyelesaikan sesuatu masalah setelah mengkaji apakah punca permasalah itu, bukan hanya menyalahkan pihak lain.

Jika apa yang saya katakan ini salah dan pembaca mempunyai pendapat yang berbeza, kongsikan dengan saya. Mungkin kita boleh berbincang lebih lanjut mengenai situasi ini. Dan jika apa yang saya kongsikan dalam ruangan ini ada silap dan salah, maafkan saya dan tolong tegur saya dengan kritikan yang membina agar dapat saya betulkan kesilapan saya dan terus belajar dari kesilapan dan kekurangan saya.

SALAM…

p/s : Berdasarkan penilaian dan pemerhatian saya, saya berpendapat ada golongan yang cuba melaga- lagakan rakyat Malaysia dan golongan ini digelar The Hidden Hand ataupun illuminati. Pesanan saya kepada pembaca, mintalah pada Tuhan (ALLAH kepada yang beragama ISLAM) agar ditunjukkan kita apakah dan siapakah yang benar dan ditunjukkan kita ke jalan yang lurus dan benar. InsyaALLAH~

Sunday, July 3, 2011

Benteng marah rakyat dengan adil, bukan polis

KUALA LUMPUR, 3 Julai: PAS mengingatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa mereka boleh mengarahkan polis untuk menghalang perhimpunan rakyat Bersih 2.0, akan tetapi tindakan mereka tidak akan menghalang rasa tidak puas hati rakyat daripada terus membara dan marak, sehingga ianya boleh mencetus pemberontakan dalaman.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menasihatkan KDN untuk menghayati teguran Khalifah Umar bin Abdul Aziz kepada seorang gabenornya dalam menangani kebangkitan dan kemarahan rakyat sebelum terlambat.

“Sewaktu seorang gabenor memohon peruntukan tambahan kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz bagi membuat benteng bagi menahan pemberontakan rakyat terhadap pemimpin, Umar membalas surat permohonan gabenornya dengan katanya: Bentenglah kemarahan rakyatmu dengan keadilanmu, mendengar rintihannya, melayani aduan mereka; itu lebih teguh benteng daripada kota yang kamu cuba bina.”

"Wahai KDN, ambillah iktibar daripada Umar bin Abdul Aziz sebelum terlambat,” tegur Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya hari ini.

PAS, katanya, juga mengecam tindakan terdesak KDN untuk mengharamkan pertubuhan Bersih 2.0 meskipun ia terhasil daripada 62 gabungan NGO yang sah dan berdaftar 6 hari menjelang perhimpunan Bersih Julai 9 ini.

“Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang telah menyalahgunakan kuasa yang ada dengan bertindak di luar batas undang-undang untuk mengharamkan Bersih 2.0 di bawah seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 kerana ia jelas bercanggah dengan dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan untuk rakyat seperti yang dinyatakan peguam Hak Asasi Manusia, N Surendran,” tambah Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Menurut Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman, Hishamuddin telah mengarahkan pihaknya untuk mengharamkan Bersih 2.0 atas alasan “bergerak aktif dan mencetuskan suasana gelisah dan kebimbangan masyarakat pelbagai kaum negara ini dan menyebarkan propaganda menghasut rakyat bagi menjatuhkan kerajaan persekutuan sekarang” dengan menuntut supaya pilihanraya yang bebas dan adil diadakan.

KDN turut mendakwa bahawa aktiviti-aktiviti Bersih 2.0 “telah memberi kesan buruk kepada imej negara, bahkan boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan, kemakmuran ekonomi dan kedaulatan negara malahan menjejaskan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum.”

Tindakan KDN tersebut, pada pandangan PAS adalah semata-mata bertujuan supaya gabungan 62 NGO tersebut boleh dianggap pertubuhan haram bagi membolehkan KDN mengerahkan polis untuk bertindak ke atas pemimpinnya.

“Tindakan ini dilihat langkah awal bagi melakukan tangkapan besar-besaran ke atas para pimpinan NGO yang menyokong Bersih 2.0 termasuk Pakatan Rakyat kononnya mencetuskan suasana gawat dalam negara; walhal jelas di mata orang awam bahawa Umno dan Perkasa merupakan pihak yang mencetuskan kontroversi dalam mengadakan perhimpunan Julai 9 ini,” kata beliau.

PAS, katanya juga melihat tindakan KDN ini seolah-olah cuba mendapatkan keizinan perundangan ke atas tindakan yang bakal dilakukan.

“Menteri Dalam Negeri sewajibnya bertindak dengan lebih profesional melayani kehendak rakyat ke arah sistem pilihanraya yang lebih baik dan adil daripada menumpukan kepada kerja untuk memburukkan Bersih 2.0.

Keyakinan rakyat kepada sistem pilihanraya yang bersih dan adil adalah asas keyakinan dan kesejahteraan negara,” tegas Tuan Ibrahim.

Terdahulunya, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, N Surendran mendakwa arahan yang dibuat Hishammuddin adalah tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Seksyen 5 Akta Pertubuhan adalah bercanggah dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan untuk rakyat.

N Surendran percaya Hishammuddin turut menyalahgunakan kuasanya di dalam mengeluarkan perintah tersebut memandangkan tindakan tersebut bermotifkan politik dan berhasrat mengekang kritikan terhadap Kerajaan Barisan Nasional.


Benteng marah rakyat dengan adil, bukan polis

Dengan Nama ALLAH